Ulasan filem The Dark Knight Rises

The Dark Knight Rises
Sebuah kenyataan yang menggerunkan pihak yang lemah, kata-kata yang tidak boleh dilupakan ini memberikan sebuah metafor yang mendalam bagi tema The Dark Knight rises: Penipuan dan manipulasi. Memang bukan mudah untuk mengatasi kegilaan Joker, tetapi Bane bukan sekadar penjahat yang biasa. Kita semua tahu yang Christopher Nolan memang gemar memberi kejutan. Sememangnya beliau tidak mengecewakan dengan trilogi terakhir beliau yang juga merupakan yang terbaik dan diilhamkan oleh kesasteraan agung Charles Dickens, “A Tale of Two Cities”.

Berikutan dengan keadaan huru-hara yang berlaku dalam “The Dark Knight” sehingga menyebabkan kematian Rachel Dawes (Maggie Gyllenhaal), Batman sudah tidak kelihatan apabila Bruce Wayne mula mengasingkan dirinya dari dunia luar. Sepanjang lapan tahun selepas peristiwa tersebut berlaku, penjenayah berbahaya berjaya dihumbankan ke penjara dengan wujudnya Akt Dent, lantas mengurangkan jenayah di bandar Gotham, Pada masa yang sama, Lucius Fox (Morgan Freeman) sedang berusaha menyelamatkan syarikat Wayne Manor yang semakin merosot. Bruce terpaksa memakai kostumnya semula tak lama selepas itu apabila dia menjadi sasaran utama penjahat yang bernama Bane (Tom Hardy) yang mempunyai agenda tersendiri dalam memusnahkan bandar Gotham dan juga Selena Kyle (Anne Hathaway), seorang pencuri licik yang juga meminati Bruce selain Miranda Tate (Marion Cotillard).

Filem terakhir Batman ini mungkin tidak segila “The Dark Knight” rises, namun ianya masih mempunyai sebuah momentum yang mengkagumkan, tidak seperti kebanyakan filem sekual yang lain, dengan isi yang memberikan makna yang penuh dari segi emosi mahupun intelek. Ini kerana filem ini berjaya mencerminkan realiti dunia yang sebenar; yang mana orang biasa mula memberontak terhadap pihak berkuasa dengan menubuhkan mahkamah tersendiri; yang mana seorang wanita biasa yang menginginkan kemewahan, keseronokan dan kelepasan dengan mencuri dari mereka yang hidup mewah, dan yang mana seorang lelaki yang dilahirkan tanpa mempunyai apa-apa akhirnya menjadi seorang ketua yang memimpin dengan zalim.

Kewujudan Bane sepanjang filem memang jelas boleh dirasai. Berbeza dengan Joker yang berperwatakan bising, gemar berjenaka dan tidak mengikuti sebarang pelan, Bane kelihatan lebih tenang, tetapi masih mampu memberikan suatu pengaruh yang ditakuti ramai. Pilihan Anne Hathaway sebagai Selena Kyle yang baru mungkin pada mulanya diragui ramai, namun apabila melihat lakonan Hathaway, pengulas berasakan bahawa beliau mampu membawa watak tersebut dengan baik sekali. Memang tidak adil kalau hendak dibandingkan Hathaway dan Michelle Pfeiffer kerana kedua-duanya berjaya membawa watak Catwoman dengan gaya tarikan tersendiri. Selain itu, peminat Joseph Gordon-Levitt tidak akan berasa kecewa dengan watak polis John Blake yang dibawa beliau kerana pelakon filem “Inception” ini ternyata mempunyai bakat dalam memegang apa-apa watak yang diberi kepada beliau.

Walaupun kebanyakan pembikin filem berasa terdesak dalam meningkatkan prestasi filem mereka dengan menggunakan efek khas seperti teknologi 3D dan CGI, namun Nolan secara keras tidak mahu bergantung kepada teknologi tersebit, seperti yang tertulis pada akhir kredit filem: “Penggambaran telah dibuat dan dihasilkan dengan filem.” Mungkin kaedah lama adalah cara terbaik bagi menghasilkan sebuah filem sehebat The Dark Knight Rises kerana ianya berjaya membayangi filem-filem aksi yang lain, lantas membuktikan bahawa efek khas bukan segala-galanya apabila membuat filem bergenre sedemikian.

Dengan kombinasi peristiwa yang mencerminkan realiti seperti keganasan, protes yang seakan-akan menyerupai apa yang sudah berlaku di Wall Street, anarki, kejatuhan ekonomi dan kekejaman dalam politik, The Dark Knight Rises bukan sekadar filem aksi yang diadaptasi dari buku komik yang hanya dipenuhi letupan dan pergaduhan secara fizikal, malah, ia adalah gambaran sebenar dunia sekarang. Inilah realiti dunia, yang tidak boleh berlari jauh dari perang, ketamakan manusia, dan jurang dalam di antara mereka yang berkuasa dan mereka yang lemah. Dengan jalan cerita yang memberikan kesan yang sangat mendalam seperti ini, The Dark Knight Rises layak diberi tepukan gemuruh setelah tamat filem. – Tupai

BINTANG
Keseluruhan: 4.5 Bintang
Pelakon: 4.5 Bintang
Plot: 4 Bintang
Efek: 4.5 Bintang
Sinematografi: 4.5 Bintang

Tontoni filem ini jika anda meminati: The Dark Knight, V For Vendetta dan Watchmen.

“Tiada siapa yang pedulikan saya siapa sehingga saya memakai topeng.” – Bane.




Comment With Facebook

Speak Your Mind

*