Raja Azmi redha diceraikan pada hari lahir

Raja AzmiRumah tangga yang dibina atas dasar cinta selama 28 tahun antara penerbit filem tempatan, Raja Azmi Raja Sulaiman dan Jalani Sidek musnah selepas bekas jaguh badminton negara melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Rabu kelmarin.

Dipetik daripada mStar, Raja Azmi walaubagaimanapun reda dengan ‘hadiah’ yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang secara kebetulan jatuh pada hari sama talak dilafazkan.

“Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir. Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya. Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti.”

Pasangan ini mengambil keputusan untuk bercerai selepas tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman serta berhadapan dengan konflik rumah tangga berpanjangan selama ini. Malah mereka ingin kekal akrab seperti sebelum ini.

“Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta dapat menerimanya. Hubungan kami akan terus baik seperti biasa. Malah kami sekeluarga baru berkumpul pada malam Selasa bagi meraikan hari jadi saya,” ujar penerbit filem kontroversi “… Dalam Botol”.

Pada masa yang sama, Jalani, 49, turut memberitahu keputusan tersebut dibuat kerana enggan melihat bekas isterinya menderita akibat fitnah yang berterusan dan bukan disebabkan wujudnya orang ketiga.

“Apa yang saya lakukan ini semata-mata kerana mahu melihat kebahagiaannya. Saya tidak mahu dia sengsara kerana tekanan fitnah orang yang mencemburui kebahagian rumah tangga kami,” ujarnya yang menganggap ia sebagai satu pengorbanan seperti dipetik daripada Berita Harian.

Pasangan yang bernikah di Kamunting, Perak pada 22 Disember 1984 telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18. Mereka juga turut memiliki seorang cucu berusia setahun bernama Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.

Sebelum ini Raja Azmi pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu selepas setahun proses siasatan berlangsung.

Jalani turut mencetuskan kontroversi selepas didakwa mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda. – Tupai




Comment With Facebook

Speak Your Mind

*