
Lagu hit “I’m Yours” berjaya menaikkan nama penyanyi kelahiran Mechanicsville, Virginia, Amerika Syarikat di persada seni antarabangsa, sekaligus membuatkan album “We Steal, We Dance, We Steal Things” menduduki tempat teratas carta-carta muzik seluruh dunia serta merangkul dua anugerah Grammy pada tahun 2010.
Kini tampil dengan album baru “Love Is A Four Letter Word”, Jason Mraz nyata tidak tertekan atau gusar untuk mengembalikan kejayaan yang pernah dikecapinya, sebaliknya berkongsi sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan iaitu cinta sesama manusia.
“Saya berasa tertekan, tetapi bukan dari segi kejayaan secara komersial kerana saya bukan lagi menulis untuk menampung kehidupan atau membayar bil. Terima kasih kepada kejayaan “I’m Yours”!”, ujar Mraz dengan nada bergurau.
“Menerusi kejayaan tersebut, saya sedar bahawa bilangan peminat semakin bertambah yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Oleh itu tekanan dirasai bagi menghasilkan lagu atau album yang sesuai untuk semua orang agar ia dapat menghubungkan saya dengan peminat,” katanya ketika ditemu bual di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, Selasa petang.
Mengulas lanjut tentang kejayaan lagu “I’m Yours” pada tahun 2008, penyanyi berusia 34 tahun ini memberitahu lagu tersebut bukanlah kerana ia dinyanyikan olehnya, sebaliknya ia adalah berkaitan dengan sesiapa sahaja yang menyanyikannya kepada orang lain.
“Hampir setiap masa saya melihat peminat atau sesiapa sahaja yang menyanyikan lagu tersebut sambil memandang antara satu sama lain. Ia adalah satu perasaan yang menakjubkan bagi saya apabila melihat orang ramai terpengaruh atau terbawa-bawa dengan lirik lagu itu.
“Oleh itu tekanan buat saya adalah untuk menghasilkan lebih banyak lagu berdasarkan kehidupan seharian atau pengalaman serta mampu menaikkan semangat mereka yang menyanyikannya dan menjadikan lagu itu seperti lagu miliknya. ”
Apabila disoal tentang inspirasi ketika menghasilkan album terbaru ini, Mraz berkata kebanyakan karya dihasilkan ketika sedang kebosanan.
“Jika saya berasa bosan, tertekan atau kurang melakukan aktiviti kreatif, saya akan menulis, bermain muzik, melukis serta menghasilkan karya baru.”
Selepas mengadakan konsert pertama pada tahun 2009, Mraz kembali untuk konsert jelajah Tour Is A Four Letter Word yang berlangsung malam tadi di Stadium Merdeka, jam 8 malam.
Album “Love Is A Four Letter Word” sudah mula berada di pasaran sejak 17 April lalu menampilkan lagu-lagu hit seperti “I Won’t Give Up”, “93 Million Miles”, “Who’s Thinking About You Now?”, “Be Honest” dan juga empat buah lagu yang dipersembahkan secara ‘live’ serta klip video “I Won’t Give Up”. – Tupai