Jangan Pandang-Pandang kutip hampir RM1juta

jangan pandang-pandang
Filem terbaru terbitan Metrowealth International Group (MIG), Jangan Pandang-Pandang mendapat sambutan positif daripada penonton apabila ia berjaya mendapat kutipan hampir RM1 juta pada minggu pertamanya ditayangkan.

Dipetik daripada Harian Metro, filem seram komedi arahan pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri ini mengisahkan tentang lima sekawan mencari artifak yang menyelitkan elemen cinta dan persahabatan.

Menurut satu sumber industri, filem Jangan Pandang-Pandang hanya berjaya mendapat kutipan hampir RM700,000 ketika hari keempatnya ditayangkan, namun bagi Ahmad Idham, dia yakin bahawa keadaan akan berubah dari segi jumlah kutipan tiket pada minggu kedua selepas memperbanyakkan promosinya.

“Memang saya akui dari segi sambutan untuk filem ini agak perlahan bermula hari pertama, namun semakin banyak nampak perkembangan pada hari ketiga dan keempat”

“Saya ada membuat kunjungan ke beberapa pawagam dan melihat sendiri bagaimana sambutan filem ini, namun mendapati tidak ramai golongan remaja datang menonton berbanding filem saya sebelum ini,” ujar Ahmad Idham.

Pengarah filem Hantu Bonceng ini turut mengakui bahawa filemnya kali ini dilihat agak sukar menafsir senario tarikan penonton, namun dia percaya faktor penyampaian dari mulut ke mulut amat positif untuk menarik penonton.

“Saya yakin filem ini akan mampu pergi lebih jauh untuk minggu kedua seperti filem tempatan yang lain.” katanya.

Filem yang dibintangi Zizan Razak, Sara Ali, Nas-T, Anith Aqilah, Miera Liyana, Azhar Sulaiman, Jaafar Onn dan Erynn Malek ini mengisahkan empat pelajar kolej jurusan Sains Sosial dan Manusia yang ditugaskan untuk membuat satu tugasan mengumpul maklumat dan data mengenai artifak di Gua Bewah. Walaubagaimanapun untuk menyelesaikan kajian tersebut, mereka memerlukan ahli kumpulan kelima dimana mereka telah bertemu dengan seorang pelajar misteri, Marsha yang memberitahu bahawa dia boleh membantu mereka.

Tiba di jeti Tasik kenyir, mereka bermalam di dalam sebuah rumah bot kepunyaan seorang lelaki misteri bernama Abang Bob. Bermulalah pengalaman pelik dan ganjil serta menakutkan sepanjang misi mereka. – Tupai

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>