
Pengalaman selama 20 tahun memperjuangkan muzik ‘bawah tanah’ bukan sesuatu yang mudah untuk dipertahankan sehingga ke hari ini. Bagi Subculture, pelbagai kenangan pahit dan manis telah mereka tempuh. Semua itu adalah kekuatan dan semangat bagi mereka untuk meletakkan diri pada tahap di mana mereka berada sekarang. Malah, sehingga ke hari ini, Subculture masih tetap berdiri teguh memperjuangkan muzik punk rock di Malaysia. Jadi, tidak salah untuk menganggap Subculture sebagai ‘Godfather of the Malaysian Punk Rock’.
Menjangkau usia 40 tahun, hanya Azreen ( vokalis/gitaris ) satu-satunya ahli asal Subculture yang tinggal bagi meneruskan legasi band punk rock terawal di Malaysia ini. Bagi Azreen, bermain muzik merupakan antara alternatif yang beliau ada bagi melepaskan stress serta mendapatkan sedikit ketenangan dari ketegangan hidup sehari-hari, sambil tidak menafikan ketenangan abadi itu hadir dari redha tuhan. Berbekalkan semangat ini, Azreen berusaha keras untuk terus menghidupkan Subculture dengan projek album terbaru sekaligus bagi menghargai sokongan peminat yang masih lagi teguh berdiri dibelakang mereka.
‘Menari Di Angkasa’ merupakan tajuk single yang menjadi pengenalan kepada album terbaru Subculture dan album tersebut dijangkakan bakal menemui peminat sekitar Jun tahun ini. Video muzik bagi single ini sudah pun dimuat naik ke laman sosial Facebook Subculture, serta ia juga boleh ditonton melalui laman YouTube. Menariknya, ‘Menari Di Angkasa’ menampilkan kolaborasi antara Subculture dengan Mira dari kumpulan Tilu. Pemilihan Mira sebenarnya adalah untuk memberikan sedikit kelainan pada salah satu karya Subculture. Ianya bukanlah suatu isu yang perlu diperberatkan. Bagi Azreen, mesej yang cuba di ketengahkan adalah kekuatan tunjang muzik punk rock itu sendiri. Walaupun kolaborasi tersebut membabitkan penyanyi pop atau jazz sekalipun, muzik yang terhasil antara kerjasama itu tetap akan menjadi punk rock.
Album ke-4 yang dalam proses akhir rakaman ini bakal mempertaruhkan 10 buah lagu. Menurut Achip (pengurus Subculture), terdapat 5 buah lagu dalam bahasa inggeris dan 5 buah lagu lagi dalam bahasa Malaysia. Mengikut perancangan, majlis pelancaran album dijadualkan akan berlangsung pada bulan Jun nanti. Walaubagaimanapun, para peminat boleh mendapatkan album ini lebih awal, iaitu sebulan sebelum majlis pelancarannya. Bagi 500 pembeli pertama pada pra-jualan tersebut, pihak pengurusan Subculture akan menjemput mereka untuk hadir ke majlis pelancaran album itu nanti. Manakala seorang daripada 500 pembeli terawal yang bernasib baik, berpeluang untuk memenangi sebuah gitar Gibson pada majlis pelancaran album tersebut.
Jadi, pastikan anda mengikuti perkembangan serta tarikh-tarikh penting bagi setiap gig, konsert atau acara penting yang melibatkan Subculture di laman Facebook mereka.
Teruskan menyokong pemuzik tempatan! – GUA