
Baru-baru ini Bunkface telah melancarkan album kedua mereka, Bunk Not Dead, di satu lorong sekitar Subang Jaya.
Album yang meperlihatkan sisi matang kumpulan itu ternyata memberi makna yang mendalam buat mereka. Dikala ramai pemuzik bimbang hasil karya mereka dimuat turun secara haram di internet, kematangan kumpulan itu dapat dilihat apabila mereka percaya penjualan album fizikal juga masih relevan di masa kini.
“Kami cuba melakukan sesuatu walaupun penjualan album fizikal semakin menurun kerana kami yakin masih ramai yang ingin medengar lagu dari cekera padat (CD).
“Hal yang sama berlaku di luar negara dimana peminat sanggup membeli album fizikal artis kegemaran mereka,” kata vokalisnya, Sam.
Bagi memastikan penjualan album ini berjaya dan berjalan lancar, Bunkface telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Warner Music Malaysia dimana syarikat itu bertanggungjawab untuk mengedarkan Bunk Not Dead ke seluruh negara.
Ketua A&R Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad berkata, kerjasama ini bukan bermaksud Bunkface kini merupakan artis Warner Music Malaysia.
“Dengan perjanjian kerjasama ini, Bunkface masih bergerak sendiri melalui syarikat mereka sendiri, Bunkface Production Sdn. Bhd. Warner Music Malaysia hanya bertanggungjawab dalam pengedaran album fizikal dan iTunes sahaja,” katanya.
Selain kematangan dari segi lirik dan komposisi lagu, album ini juga istimewa kerana ia merupakan album AR pertama di dunia dimana ia mengandungi kod tersembunyi di sebalik gambar yang membolehkan grafik di dalam album itu bergerak jika dilihat menerusi telefon Android atau Apple.
Bunk Not Dead boleh didapati di pasaran selepas Aidilfitri dengan harga RM29.90 sahaja. – Gua