
Adam Yauch yang merupakan salah seorang pengasas kumpulan hip hop terkenal, Beastie Boys, telah meninggal dunia pada usia 47 tahun. Yauch yang dikenali sebagai MCA, telah lama menerima rawatan untuk penyakit kansernya itu sejak dia disahkan menghidap penyakit tersebut pada 2009, selepas satu tumor dijumpai di kelenjar air liurnya.
“Dengan dukacitanya kami ingin mengesahkan bahawa pemuzik, rapper, aktivis dan pengarah Adam ‘MCA’ Yauch yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan Beastie Boys, aktivis Milarepa Foundation yang menganjurkan konsert amal untuk Tibetan Freedom, dan pengasas syarikat produksi filem Oscilloscope Laboratories, telah meninggal dunia di kediamannya di New York pada pagi ini (Ahad) selepas hampir 3 tahun cuba untuk mengubatinya,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut laman Rollingstone, Yauch pada April lalu telah bertanggungjawab dalam menyenaraikan Beastie Boys di Rock and Roll Hall of Fame, walaubagaimanapun rawatan yang perlu dilaluinya pada masa lalu menyebabkan album terbaru mereka, “Hot Sauce Committee, Pts 2”, ditangguhkan.

Beastie Boys tidak lagi membuat persembahan secara live selepas mendapat tahu tentang penyakit kanser yang dihidapi Yauch iaitu pada tahun 2009, oleh sebab itu juga mereka tidak dapat membuat muzik video untuk album terbaru mereka yang berjudul “Hot Sauce Committee, Pt.2” Kumpulan Beastie Boys telah diasaskan oleh Yauch besama Mike “Mike D” Diamond dan Adam “Ad-Rock” Horovits pada tahun 1979.
Kumpulan ini pada mulanya mengetengahkan muzik hardcore punk, tetapi mula mengeksperimen dengan hip hop. Mereka mula menjadi popular apabila album pertama mereka, “Licensed to Ill”, pada tahun 1986, menjadi album paling laris dijual dalam dekad ketika itu, dan telah menduduki tangga pertama di carta Billboard.
Mereka kemudian telah mengeluarkan album berjudul “Paul’s Boutique”, “Check Your Head”, “Ill Communication” dimana ia telah membuat kumpulan mereka menjadi terkenal di dunia. Di samping Beastie Boys, Yauch juga sangat aktif dalam pergerakan aktivis untuk membebaskan Tibet.
Melalui Milarepa Fund yang diasaskan olehnya, Yauch menjadi salah seorang peneraju utama untuk Tibetan Freedom Concert di Golden Gate Park, San Fransisco pada tahun 1996, yang dihadiri oleh 100,000 orang. Ia merupakan konsert amal terbesar di Amerika sejak konsert Live Aid 1985. Selepas tragedi 9/11, Yauch dan Beastie Boys juga telah menganjurkan program ‘New Yorkers Against Violence’, sebuah konsert amal untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.
Yauch juga bertanggungjawab dalam mengarahkan kebanyakkan muzik video Beastie Boys, dengan menggunakan nama samaran Nathaniel Hornblower, dan pada tahun 2002, dia telah melancarkan syarikat produksi filemnya, Oscilloscope Laboratories.
Sebagai seorang penggiat filem, beliau juga bertanggungjawab dalam mengarahkan filem konsert Beastie Boys pada tahun 2006 bertajuk “Awesome; I Fuckin’ Shot That!” dan juga dokumentari bola keranjang “Gunnin’ for That #1 Spot” pada tahun 2008. Malah syarikat produksinya juga menerbitkan sebuah filem yang disanjung oleh penontonnya iaitu “Exit Through the Gift Shop”.